Monday 31 December 2012

1.66% OER Improvement

Semasa mengambil alih kilang ini bermula Mac 2012, OER YTD kilang adalah 18.54%. Kesan daripada OER selama dua bulan berturut - turut di bawah paras 19%!

Bermula Mac 2012, kami mendapat 19% untuk bulan Mac dan seteruskan kami mendapat OER lebih daripada 20% dan 21% ke atas.

Namun, disebabkan tahunan tiga bulan pertama, kami merekodkan bawah 20%, penghujung tahun kami berlabuh dengan OER 20.20%.

Jika dikira, peningkatan sebanyak 1.66%. Ia bukanlah figure yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan rakan - rakan kilang yang lain di Sabah mahupun di Malaysia.

Namun, jika dikaji lebih mendalam, dengan peningkatan terbabit, syarikat telah menjana lebihan

1328mt CPO. Dengan harga purata RM2800/mt/cpo ini bermaksud RM3.7 juta atau RM309k/sebulan.

Ini belum dikira palm kernel.

Ya. Itu bukan duit untuk Awang pun. Dia cuma seorang kuli yang bekerja. Namun, Awang berpuas hati di atas pencapaian tersebut.

Untuk tahun 2013, cabaran lebih besar menunggu. Awang meletakkan figur yang sama bermaksud 
1.66% + 20.20% = 21.86% iaitu hampir kepada 22%.

Untuk mencapai target ini kerjasama antara ladang-ladang amat perlu. Tekadkan dalam hati untuk mencapai target tersebut, Insya Allah, jalan lurus di hadapan.

Antara langkah konkrit yang saya letakkan untuk mencapai target tersebut adalah :-

* 0% Unripe
* <5% unclassifiable dan unfresh FFB. Jika 0% lebih baik.
* 0% mill breakdown
* Ripeness >90%
* Loose 100% recovery.
* No oil losses in effluent pond. 
*Teamwork with Estates Management at top priority.

Kita merancang, Allah yang menentukan.

Selamat berlabuh 2012.
Selamat tahun baru 2013, Tahun Kejayaan. Teruskan usaha!

Tuesday 4 December 2012

Tahniah Hashim!


Assalamualaikum wt,

Post ini tribute untuk adik aku Hashim sempena konvokesyen baru - baru ini. Selepas mengambil diploma, akhirnya beliau menamatkan ijazah sarjana muda statistik.

Tahniah kerana berjaya mengharungi segala onak duri, ranjau serta cabaran bergelar mahasiswa dan pelajar sekian lamanya.

Namun ketahuilah adikku. Ia sebenarnya adalah salah satu fasa dalam kehidupan kau. Satu fasa mungkin dari 100 fasa ataupun seribu fasa. Kehidupan ini berfasa - fasa. Sama lapisnya dengan seperti helaian buku kamus atau buku yang berjumlah 1000 muka surat. Kau sebenarnya perlu membelek ke helaian seterusnya. Mungkin kau cuma baru di bahagian bab pertama.

Aku tahu, sekarang kau dalam persimpangan untuk memilih helaian yang bakal kau tempuhi. Cabaran itu sebenarnya juga adalah satu fasa dalam hidup kau. Sama fasanya seperti dulu kau bergelar mahasiswa.

Esok lusa kau akan berkerjaya. Membina kerjaya, keluar pagi balik lewat petang dan begitu juga seterusnya. Esok lusa kau akan berkahwin. Bina keluarga, punyai anak dan juga cucu. Esok lusa kau akan membeli kereta, rumah serta harta. Hinggalah akhirnya kita kembali kepadaNya.

Ya. Ia semua adalah fasa. Fasa belajar. Fasa Mengajar. Fasa kerjaya. Fasa berumahtangga. Fasa dunia. Fasa Akhirat. Ia datang dan ia pergi. Soalnya..adakah ia akan berhenti? 

Tidak. Ia tidak akan berhenti bilamana kita masih bernyawa. Ia cuma berhenti bilamana kita ke syurga atau neraka,

Ketahuilah, tekanan yang kau rasa sebelum esoknya peperiksaan adalah sama juga tekanan yang kau akan rasa bila mana dimarahi oleh majikan. Bilamana punyai masalah keluarga. Bilamana anak atau cucu kau buat masalah. Atau seribu satu masalah pada masa akan datang.

Ia tidak boleh dielakkan. Ia sebenarnya adalah episod demi episod dalam hidup kau. Kau tidak boleh lari. Kau terpaksa harunginya semua. Tempuhinya semua. Jangan sesekali lari. Insya Allah, walaupun kau tidak tahu apa yang akan dilakukan, namun percayalah, Insya Allah, ada jalannya.

Banyakkan bersabar. Berdoa. Berusaha dengan rajin. Banyakkan berserah pada Allah. Minta restu orang tua.

Akhir kata. Aku bukan tujukan post ini kepada kau adikku. Aku sebenarnya ingin berkata pada diriku sendiri, apa lagi fasa yang bakal aku tempuh.

Setiapnya mengajar diriku. Menjadi lebih dewasa dan matang. Walaupun kadang kala aku bersikap sebaliknya.

...salam.

Lost in space

Aku pulang dari seminar dua tiga hari di KK, sampai ke rumah di estet.

Aku tidur malamnya. Esoknya pun selepas sarapan, aku tidur sepanjang hari. Keluar sekejap - sekejap ke kandang dan tidur semula malamnya.

Sambil ditemani tv hingga ke pagi.

Ya kawan, aku lost in space.


Aku lost in space selepas beberapa hari kelahiran Jambo. Anak kambing jantan pertama kurang seminggu lepas. Jamnapari cross boer.

Ini bukan kali pertama aku lost in space. Sudah banyak kali. Untuk kali ini, ia bukan satu perkara baru. Cuma aku perlukan tidur beberapa jam/beberapa hari untuk kembali pulih.

Sekurang - kurangnya kelincahan anak kambing ini mampu menjadi hiburan buat aku yang masih di awan - awangan. Berterbangan di angkasa raya. Bergerak pelahan - lahan dengan daya tarikan graviti sifar. Macam dalam cerita Star War..

Akhirnya aku berkata, tika mana dan bila pun, aku akan bersendirian. Lagi - lagi bilamana aku membuat keputusan untuk terbabas ke industri sawit ini.

Suka atau tidak, satu masa aku akan berjauhan dengan keluarga disebabkan oleh faktor kerja.

Mengimbas kembali lapan tahun lepas semasa beberapa bulan menjadi kadet jurutera di sykt I, aku tinggal bersendirian selama lebih setahun di sebuah rumah, tanpa tv dan tanpa rakan serumah. Di sebuah bumi yang cukup asing. Di sebuah ladang yang cukup jauh 160 km dari bandar. Di sebuah tempat tanpa talian telefon, wifi, 3G, gprs mahupun 4G lagilah.

Keluarga aku juga lost in space. Isteri, anak - anak bersendirian jauh dalam ladang. Terpisah daripada masyarakat. Hari - hari tengok muka aku dan juga pembantu rumah. Lagilah bilamana aku tengah stress akibat kerja. Akibat peperiksaan. Akibat sikap aku.

Semasa mengandung lapan bulan, isteri aku masih menaiki van aka bas mini untuk ke Bandar Lahad Datu ulang alik membeli bekalan rumah sebulan. Aku belum mampu membeli kereta kawan. 

Peristiwa demi peristiwa silih berganti. Besar sungguh cabaran menjadi miller kawan. Sehingga dijangkiti penyakit lost in space.

Setiap kali berlaku kejadian ini, akan memberi kesan dan garis kasar yang cukup mendalam pada jiwa aku.

Sama seperti kesan parut lapan jahitan di leher. Seperti juga kesan parut di jari tengah kanan berjumlah sembilan jahitan. Juga di jari telunjuk kiri hampir hancur akibat overhead crane.

Juga di jiwa dan hati aku yang sama jumlahnya dengan rambut putih di kepala. Ya kawan, tak terhitung jumlahnya.

Pada dan waktu itu, aku sendiri yang mencari jawapannya.

Apa yang aku cari sebenarnya? di saat berterbangan di cakerawala, di awangan, lost in space.

Moga aku diberikan kekuatan. Terus bangkit dari tidur dan senyum.

Seumpama senyuman anak kambing pertama aku. Senyum kehidupan tetap perlu diteruskan. Selagi nyawa dikandung badan.

Aku cuma seorang insan kawan. Insan yang mengembara. Kembara Insan. Selaku insan, aku bukannya sempurna kawan. Namun aku kuteruskan kembara ini, walaupun seketika aku penat dan lelah. Menumpah kasih dan mencari tuah. 

...lost in space.